Wednesday, March 18, 2009

GELANGGANG GAYONG PUSAKA TAMAN PERMAI.

Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia,Gelanggang Taman Permai (PSSPGM Taman Permai) telah bertapak secara rasminya pada tahun 2008. Pada awalnya kami bermula di Lorong Hj Hasaan, Batu 3 Jalan Langgar. Setelah tiga tahun di situ, kami berpindah ke tapak baru yang lebih selesa sekarang iaitu di Taman Sri Permai Fasa 2, Jalan Langgar, Alor Star. Kini, cawangan ini bergerak aktif di daerah Kota Setar. Pusat pentadbiran dan latihan tertinggi terletak di Guar Nenas, Gurun, Kedah di bawah pimpinan Datuk Raja Abdul Majid Bin Md Isa. Allahyarham Dato' Meor Abd Rahman Bin Daeng Uda Hashim merupakan pengasas kepada Seni Silat Gayong ini.

Di samping mengadakan latihan mingguan di gelanggang, PSSPGM Taman Permai juga sering kali dijemput untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis keraian dan rasmi. Kami juga mempunyai hubungan rapat dengan Non Government Organization (NGO) dan badan kerajaan. Kami juga terlibat dalam program di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Ini menjadikan PSSPGM Taman Permai dikenali dan mudah didampingi.
PSSPGM Taman Permai mempunyai azam yang tinggi untuk memastikan kecemerlangan ahlinya duniawi dan ukhrawi. Oleh itu, beberapa program telah dirangka dan akan dilaksanakan demi merealisasikan hasrat tersebut. Melalui gabungan jurulatih baru dan lama serta gelanggang-gelanggang lain di daerah Kota Setar ini, diharap usaha ini akan berjaya.
Sebagai usaha ke arah pembentukan generasi pelapis pada masa akan datang, PSSPGM Taman Permai akan terus memberi penekanan dan mempertingkatkan kekuatan rohani, jasmani serta mental ahli-ahlinya. Semua unsur ini amat penting kepada pembentukan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments:

Post a Comment