Tuesday, April 7, 2009

Maksud Kalimah GAYONG

GAYONG = Ga Alif Yaa Wau Nga

Ga mewakili GENGGAM. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Dato' Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agong Persilatan Melayu Moden.

Alif mewakili ANGKAT. Ia bererti kewajipan murid murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al-Quran dan syariat-Nya. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.

Yaa ialah YAKIN. bahawasanya kita beriman dengan keberkatan Al Quran dan segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah S.W.T. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakannya untuk kebaikan.

Wau ialah WARAS. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang bakal diambil. Ia menggambarkan bahawa seseorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.

Manakala Nga pula memberi erti NGERI. Ngeri dengan kebesaran Allah S.W.T. dan azab seksaan-Nya, ngeri dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamerkan Silat Seni Gayong.



Lima huruf di atas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu Rukun Islam yang lima. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang lima waktu sehari semalam.

Pada hakikatnya, kekuatan seseorang murid Gayong itu terpancar melalui keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala larangan Nya. Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan di atas barulah dianggap seorang murid Gayong itu benar benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong.

No comments:

Post a Comment